Malam ini pelbagai perkara yang saya fikirkan. Tumpuan kepada pembacaan bagi menghadapi peperiksaan akhir esok agak terganggu. Saya berfikir tentang peranan mahasiswa yang sebenar. Setelah membaca pelbagai komentar dari pihak kerajaan dan pembangkang mengenai belanjawan, saya dapati mereka memainkan peranan mereka yang sebenar dengan baik sekali. Pihak kerajaan berusaha sedaya upaya ‘mencantikkan’ prestasi mereka semampu mungkin walaupun terdapat banyak kecacatan yang boleh ditelusuri dalam membentangkan belanjawan negara . Pihak pembangkang juga bangkit dengan pelbagai tusukan, kritikan bahkan kecaman kepada setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut kerajaan, walaupun kepada perkara-perkara yang boleh dianggap usaha baik dari kerajaan.
Fokus pemikiran saya saat ini bukan tentang itu. Bukan jua ingin mengkritik mana-mana pihak. Akan tetapi saya berfikir bagaimana mahasiswa kini tidak memainkan peranan mereka dengan betul. Saban waktu kita mendengar pelbagai slogan dimainkan oleh pimpinan mahasiswa samaada dari GAMIS, SMM, GPMS, PKPIM dan lain-lain bahawa mahasisiwa adalah golongan istimewa. Mahasiswa adalah golongan yang bertindak sebagai check and balance kepada negara. Namun, slogan hanya tinggal kenangan apabila mahasiswa tidak benar-benar merealisasikannya.
Kenapa saya berkata sedemikian? Setelah hampir 5 tahun bergelar mahasiswa ( 3 tahun di UTM dan hampir 2 tahun di UIA), saya melihat kelompok-kelompok mahasiswa ini belum benar-benar bebas. Mereka terlalu terikut-ikut dengan ideologi kepartian sehingga tidak membenarkan diri bertindak diluar batas garisan ideologi masing-masing. Contoh mudahnya begini : Gabungan Mahasiswa A (GMA) yang sangat menghormati dan menjunjung prinsip kepartian Parti Pembangkang 1 (PP1) akan sentiasa berusaha mentaati dan mengikut teras perjuangan PP1. Manakala Gabungan Pelajar B (GPB) pula di terajui oleh Parti Kerajaan 2 (PK2) di dogma dengan pemikiran kerajaan sentiasa mesra, cepat dan betul. Lalu, di manakah kenyataan check and balance itu?
Kita semua sedia maklum, peranan sesebuah kerajaan adalah memastikan struktur ekonomi, politik dan sosial sesebuah negara berada dalam keadaan baik dan adil. Justeru, tidak kira sesiapa atau parti mana yang memerintah, mahasiswa sepatutnya menjadi check and balance kepada kerajaan tersebut. Malangnya, apabila kerajaan membentangkan bajet negara, yang menyediakan bajet alternatif hanyalah dari pihak pembangkang. Seperti biasa, kerajaan pastinya akan menolak mentah-mentah bajet alternatif tersebut kerana ia sentiasa tidak memenuhi ‘selera’ mereka. Keadaan ini telah berterusan selama berpuluh tahun! Kerajaan sentiasa merasakan mereka betul dan pembangkang juga sentiasa menyatakan kerajaan adalah salah. Maka di sinilah kepentingan suara-suara dari kelompok pertengahan.
Malangnya, dimana peranan dan usaha mahasiswa sebagai pengantara tersebut? Sedangkan mahasiwa adalah golongan istimewa. Mereka di kelilingi para ilmuan, intelektual dan pengkaji-pengkaji dari pelbagai bidang. Jika mereka boleh menyiapkan lima hingga enam tugasan dalam masa satu semester ( lebih kurag 5 bulan), dimanakah masalahnya untuk sekelompok mahasiswa menyiapkan bajet ‘saranan’ setahun sekali kepada kerajaan? Di manakah masalahnya untuk kelompok mahasiswa yang bebas ini melahirkan cadangan mereka tentang dasar-dasar penting kepada kerajaan?
Mungkin ada segolongan mahasiswa akan menyatakan mereka terikat dengan AUKU dan tidak bebas bersuara. Saya fikir, ini adalah permikiran mahasiswa yang masih di jajah dengan kejumudan atau dalam bahasa inggerisnya di sebut lack of creativity & innovation. Mahasiswa ‘bebas’ perlu bijak memainkan peranan mereka sebagai perantara. Mereka perlu membina strategi politik yang tersendiri bagi memastikan mereka di terima kedua-dua pihak. Status mereka sebagai anak muda bukan juga penghalang kepada pergerakan mereka. Apabila mereka di terima sebagai kelompok bebas, suara mereka akan memberi kesan dan cadangan mereka pasti diambil kira.
Tahun 2010 boleh di katakan tahun ‘transformasi’. Setiap hari kita melihat di kaca TV, perkataan tersebut di laung-laungkan. Saya fikir, mahasiswa juga perlu membuat tranformasi kepada cara dan strategi pergerakan mereka. Sudah tiba masanya mahasiswa kembali memenuhi peranan mereka sebagai ‘pengatur check and balance’ kepada negara.
MASYITAH MD.HASSAN -UIA
Blog beliau boleh dilawati melalui : HIM..The Solely One
Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat
3 hari yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan