"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)
Manusia diciptakan dengan sifat dan ciri-ciri yang paling istimewa dan di dalam penciptaan manusia, Allah turut menciptakan hati. Hati mempunyai peranan yang sangat besar kerana hati umpama raja kepada anggota badan yang lain. Orang melayu yang terkenal dengan pepatah dan bahasa kiasan turut menjadikan 'hati' sebagai elemen pepatah seperti; "Dari mata turun ke hati". Berdasarkan pada ungkapan tadi, jelas mengatakan bahawa hati berperanan besar dalam segala tindak tanduk kita. Terdapat 3 jenis hati manusia iaitu:
1. Hati yang sihat
Bermaksud hati yang suci, bersih dan bebas daripada segala gangguan yang menyebabkan terhalangnya manusia melaksanakan perintah Allah s.w.t
2. Hati yang mati
Bermaksud mereka yang memiliki hati yang degil dan ego untuk menyembah Allah Taala. Manusia jenis ini bekerjasama atau sekutu bagi syaitan dan nafsu.
3. Hati yang sakit
Bermaksud hati yang masih mempunyai kehidupan tetapi hatinya ada benih-benih penyakit. Kadangkala mereka hidup sihat berpandukan iman tetapi ada kalanya mereka mengutamakan nafsu yang menggila.
Sebagai manusia yang selalu lalai dan leka, kita perlu sentiasa menyemak diri kita. Selidik apa yang kurang dan kaji apa yang lompong. Kenali jenis apakah hati kita dan sentiasa berusaha membaiki diri kerana Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa: "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air. " Oleh itu, penawar bagi hati yang berkarat ini adalah dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan mengingati mati.
Terdapat satu kisah di mana Rasulullah SAW sentiasa berdoa dengan; " Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati manusia, tetapkanlah hatiku dalam agamaMu dan dalam melakukan ketaatan kepadaMu". Bila Saidatina Aisyah bertanya "Mengapa?"Lalu Baginda menjawab "Sesungguhnaya hati manusia ini berada di antara 2 jari Allah dan jika Dia hendak menukarkannya, amat mudahlah bagiNya."
0 ulasan:
Catat Ulasan