Rabu, 13 Oktober 2010

UCAPAN PENGERUSI SIGMA 10/11





dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-taubah, ayat 71)



Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah SWT, Penguasa Sekalian Alam atas rahmat dan kesempatan yang diberikan untuk terus bernafas sebagai seorang muslim.. Selawat dan salam buat junjungan besar, kekasih kita Rasulullah SAW, para sahabat dan ahlil bait.

MUSLIMAT ASET BERNILAI GERAKAN ISLAM

sahabat-sahabat yang dihormati,

Medan perjuangan gerakan Islam pastinya tdak pernah sunyi daripada penyertaan muslimat yang dikatakan sebagai sayap kiri perjuangan. Peranan muslimat dalam usaha mencapai agenda dan matlamat gerakan bukan lagi menjadi keraguan di kalangan pendokong harakah islamiyah. Bahkan ketiadaan muslimat pasti akan dinanti dan dicari.

Lantaran keperluan ini, Srikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) yang menjadi aset dan kekuatan di dalam GAMIS sendiri akan cuba berusaha untuk memainkan peranan penting bagi mencapai hadaf gerakan. Memasuki tahun ketiga pengimejan semula (rebranding) gerakan muslimat GAMIS, SIGMA sesi ini begitu optimis untuk meneruskan lagi agenda yang telah dirancang sebelum ini dengan kesedaran kita perlu bersama-sama berusaha dan berkerja lebih keras lagi dalam mencapai matlamat.

MEDAN PENTARBIYAHAN MUSLIMAT GERAKAN

ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah,

SIGMA membulatkan tekad untuk meningkatkan lagi kualiti ahli khususnya muslimat dalam berfungsi sebagai ‘abidah, da’ieyah, murabbiyah dan pemimpin kepada masyarakat. Nilai ‘ubudiyyah dan kelimuan yang disatukan dalam jiwa muslimat pastinya akan mampu melahirkan muslimat gerakan yang berkualiti dan menjadi penggerak kepada perubahan masyarakat ke arah yang lebih baik. Kita bukan sahaja meneladani Aisyah ra yang mahir dalam ilmu hadith, atau Fatimah az Zahra yang mahir dalam ilmu fiqh, bahkan juga Siti Zubaidah isteri Harun ar Rasyid yang bijaksana mencadangkan pembinaan saluran pengairan mata air ‘Ain Zubaidah di tengah kota mekah, teknologi yang hampir tidak terfikir manusia disaat itu . Justeru, penglibatan di dalam SIGMA perlu dijadikan sebagai medan tarbiyah kepada semua ahli gerakan muslimat sehingga kita boleh menyediakan ahli muslimat yang petah berbicara dan memiliki kelebihan tersendiri dalam menyampaikan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat diluar.

MUSLIMAT KOMPETEN DAN BERINTEGRITI

sahabat-sahabat yang dimuliakan, Allah SWT berfirman yang maksudnya:

Sesungguhnya sebaik-baik orang diambil bekerja ialah orang Yang Kuat, lagi amanah".(Al-Qasas: 26)

Al-Qawwi dan Al-Amin adalah 2 ciri terpenting seorang pemimpin yang dinukilkan di dalam al-Quran. Nilai kompetensi (quwwah) dan integriti (amnu) inilah yang perlu dibina di dalam diri anggota SIGMA dalam usaha kita untuk melahirkan pelapis kepimpinan negara dan kepimpinan GAMIS itu sendiri. Apatah lagi, kini kita berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menyebabkan muslimat perlu lebih ke hadapan dan memiliki jiwa kepimpinan yang cekal dan berketrampilan. SIGMA juga berperanan untuk menjadi suara ketiga (3rd voice) dalam meningkatkan lagi nilai dan kualiti masyarakat khususnya dalam isu-isu sosial dan kewanitaan. Matlamat ini pastinya tidak akan berjaya tanpa adanya pemimpin muslimat yang dilahirkan oleh SIGMA sendiri yang mampu bersaing dan memiliki sifat-sifat mahmudah.

WEHDATUL QALB MEMPERKUKUH GERAKAN

Kesatuan fikrah dan amal dalam SIGMA pasti akan lebih bermakna jika ia dilengkapi oleh kesatuan hati semua anggotanya. Setiap agenda yang digariskan di dalam SIGMA dan GAMIS sendiri tidak lain hanya akan dapat dilaksanakan dengan adanya kekuatan dan kesatuan anggota. Justeru, usaha yang seharusnya diperkasakan lagi di peringkat SIGMA tidak lain adalah untuk meningkatkan lagi momentum kekuatan dan kesatuan ahli muslimat. Bahkan, kekuatan yang disepadukan ini pasti memberi impak besar kepada gerakan GAMIS sendiri.


Akhir kata, marilah sama-sama kita memohon pertolongan daripada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam membantu Islam. Semoga kita istiqamah dalam mendokong perjuangan berlandaskan kebenaran ini. Firman Allah Taala:

Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” ( Hud:112)


NAZIRAH BT. ABU BAKAR -UIA
Pengerusi SIGMA GAMIS

Blog beliau boleh dilawati melalui : Kembara Seorang Hamba



0 ulasan:

Jundullah