Jumaat, 11 Disember 2009

Merancang Bahagia Melalui Jalan Agama

Sebagai seorang muslim kita pasti mempunyai cita-cita dan impian yang ingin dicapai dalam hidup namun tidak semua cita-cita itu akan terlaksana tanpa usaha dan disertai dengan qada dari Allah taala.

Manusia hanya mampu berusaha namun Allah yang menentukan segala-galanya. Apa jua yang kita cita-citakan mestilah selari dengan khendak Allah dan tidak lari dari syariatnya kerana mengejar cita-cita tanpa melalui jalan syariat beerti mencari kebahagiaan yang sementara dan sia-sia.

Untuk menjadi individu yang berjaya kita mesti ada perancangan kerana tanpa perancangan sukar bagi kita untuk bertindak. Allah S.W.T sendiri mengajar kita untuk melakukan “planning” dalam urusan hidup supaya kita dapat menjadi individu yang berjaya di dunia dan akhirat. Firman Allah Taala Dalam Surah Al-Hasyr ayat 18 :



18. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa Yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan.

Menerusi firman Allah yang mulia ini Allah menyuruh kita untuk memperhatikan apakah yang kita telah sediakan untuk menghadapi hari esok yakni (akhirat). Inilah disebut sebagai perancangan untuk berjaya dengan memperhatikan apakah telah kita sediakan untuk masa depan kita di akhirat nanti. Untuk berjaya di akhirat nanti ia sangat berkait dengan bagaimana kita merancang kehidupan semasa kita masih lagi berada di atas muka bumi Allah ini.

Sebelum melakukan perancangan kita mesti terlebih dahulu bertakwa kepada Allah kemudian barulah membuat perancangan dan akhir sekali kita bertawakal kepada Allah dan bertakwa kepadanya. Orang yang ingin berjaya mesti melakukan perancangan awal kerana apabila kita melakukan perancangan sebenarnya kita telah melangkah untuk berjaya. Dengan merancang ia mencetus satu motivasi dalaman dalam diri untuk bertindak namun perancangan yang di buat mestilah perancangan yang baik dan tidak lari dari garisan Allah Taala.


Untuk membina keluarga bahagia juga kita perlu kepada perancangan namun ia mestilah dalam kerangka menjaga syariatullah supaya ia mendapat keredaan Allah. Setiap manusia yang berkahwin mengharapkan kebahagiaan namun apakah mudah bagi kita mendapat bahagia sekiranya semasa dalam perhubungan sebelum kahwin dahulu kita melanggar syariatullah. Prinsip bercinta itu mudah iaitu, cintai Allah terlebih dahulu dan sekiranya jatuh cinta kepada makhluk Allah biarlah ia kerana Allah. Jangan jadikan cinta kepada makhluk merampas cinta kita kepada Allah kerana ia akan membinasakan kita. Apabila cinta yang utama adalah cinta kepada Allah maka cinta kepada makhluk Allah akan dapat dikawal oleh kuasa cinta kita kepada Allah. Bila seseorang manusia itu mencintai Allah maka cintanya kepada Allah itu akan mencegahnya untuk melakukan perbuatan yang mendatangkan murka Allah seperti keluar berdua-duaan, sms benda-benda yang melaghakan, dan sebagainya kerana itu semua nampak sahaja indah akan tetapi akibatnya adalah sangat bahaya.

Apabila prinsip ini kita patuhi sebenarnya kita telah merancang untuk mewujudkan keluarga bahagia melalui jalan Agama. Dengan prinsip Agama Islam sahajalah kita akan memperoleh bahagia dan sebarang kebahagiaan yang dicari dengan menyalahi prinsip Agama akan mengundang bencana. Masa untuk membina anak soleh yang dapat mendoakan kita selepas mati adalah bermula seawal peringkat kita ingin mencari pasangan hidup lagi. Sekiranya pasangan yang dicari itu kurang nilai Agamanya maka kemungkinan anak kita nanti itu akan mempunyai sikap yang sama. Melakukan perkara dosa dan maksiat semasa perkenalan juga bererti kita sedang mempersiapkan anak kita di masa hadapan untuk menjadi anak-anak yang akan mencabar kesabaran kita dengan perangainya nanti. Inilah kafarah yang akan kita dapat sekiranya kita menyalahi prinsip Agama Islam dalam mencari bahagia.

Kesimpulannya, untuk berjaya di dunia dan akhirat kita mesti melakukan “planning” dan ini semua mestilah dilakukan selaras dengan kehendak Allah. Tanpa perancangan kita sebenarnya merancang untuk gagal dan kegagalan yang teruk ialah kegagalan menjadi hamba Allah yang baik yang akan menyebabkan kita gagal ke Syurga Allah.

Sumber: Tintadaie

0 ulasan:

Jundullah