Rabu, 29 September 2010

Disebalik Kemeriahan Syawal


Nusaibah: Asma, enti dah habis qadha puasa?

Asma: Oh, awal-awal lagi ana dah qadha. Sekali dengan puasa 6 tempoh hari.

Nusaibah: Enti pasti ke kita boleh qadha puasa ganti dengan puasa 6?

Asma: Pada pendapat ana, tak ada salahnya. Dua-dua pun puasa.

Nusaibah: Eh, bab-bab agama ni jangan dipandang ringan. Ilmu tanpa amal itu buta, tapi amal tanpa ilmu itu gila. Rasanya eloklah kita rujuk dengan yang pakar dahulu.

Asma: Erm... kalau begitu, baiklah. Kalau ana tersalah tafsir, masih boleh diperbetulkan. Mujurlah enti timbulkan isu ni.

Bulan Syawal sudah hampir sampai ke penghujung. Namun, bagi sesiapa yang masih berusaha memenuhkan 6 hari puasa sunat Syawal, teruskan usaha. Kepada yang sudah melangsaikan kesemua 6 hari, alhamdulillah. Manakala bagi yang masih belum bermula, masih sempat lagi untuk anda memulakannya. Disebalik ganjaran pahala yang Allah janjikan kepada sesiapa yang menunaikan puasa 6 ini, timbul juga kemusykilan terhadap beberapa isu berkaitan. Teruskan membaca huraian dan penjelasan terhadap kemusykilan yang timbul berdasarkan hadis-hadis soheh dan huraian serta pendapat oleh para ulama'.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan. Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?

Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
Ertinya : “..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW,

Ertinya "... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda..” ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Artikel adalah olahan daripada artikel asal oleh Ustaz Zaharuddin dan juga artikel yang dipaparkan di PMIUM. Semoga bermanfaat.


Baca Seterusnya / Read More

Ahad, 26 September 2010

Islam Itu Bukan Program Kelab@Persatuan.



Tempoh hari saya ada mencetuskan satu ayat: “Islam itu bukan program kelab@persatuan” dan alhamdulillah, ramai yang memberikan pandangan masing-masing. Jujurnya, saya amat menghargai semua pandangan yang diberikan. Bahkan sebenarnya saya senang dengan partisipasi yang telah ditunjukkan. Ini menunjukkan kebersamaan kita ada. Saya sebenarnya risau menjadi penulis syok sendiri.

Berbalik kepada tajuk, hakikatnya ini adalah satu perkara yang saya kira sangat-sangat-sangat penting untuk kita sebagai muslim mukmin memerhatikannya, dan merancang tindakan daripadanya.

Islam itu bukan program kelab@persatuan, sepatutnya kita tanam kemas di dalam jiwa?

Kenapa?

Kerana Islam itu adalah setiap masa, ketika, tempat dan segenap kuman dalam juzu’ kehidupan kita.

Kefahaman yang silap: Meletak Islam hanya di dalam formaliti

Kesilapan terbesar kita adalah apabila kita merasakan bahawa kita telah menggerakkan Islam secara menyeluruh, hanya dengan kita ini banyak menyertai program-program Islami.

Kita banyak mengikuti program, kita ada waktu usrah, kita ada ijtima’ kita, kita ada majlis-majlis yang dibuat bersama dengan ‘circle’ kita. Maka kita rasa: Aku telah menghidupkan Islam.

Tanpa kita sedari, semua perasaan tadi muncul hanya kerana kita melaksanakan Islam di dalam formaliti. Pada satu perkara yang mempunyai penamatan masa, dan hanya berlaku pada waktu tertentu, tempat tertentu.

Sedangkan, Islam itu adalah setiap masa. Tiada satu saat pun yang kita boleh menjadi ‘bukan Islam’ sebenarnya. Islam itu mencakupi semua.

Maka apakah tepat sekiranya kita menyatakan bahawa kita adalah seorang muslim mukmin yang baik, hanya kerana keterlibatan kita di dalam formaliti?

Bagaimana kita dalam waktu-waktu informal?

Waktu-waktu biasa tanpa program atau acara?

Waktu-waktu biasa, tika bersama adik-adik dan keluarga, tika bersama kawan-kawan, tika sendirian?

Islam itu setiap masa. Tanggungjawab kita sentiasa

Sekiranya kita ini benar-benar serius mengangkat Islam sebagai cara hidup, maka hakikatnya kita perlu mengangkatnya 24/7 dalam seluruh kehidupan kita. Bukan hanya di program-program.

Islam itu sendiri bukan satu program persatuan@kelab, yang mempunyai waktu tertentu, masa tertentu, tempat tertentu. Islam itu sepanjang waktu.

Maka Muslim Mukmin yang sebenar, akan kekal dengan komposi Islaminya dalam seluruh kehidupannya.

Saya tidak berapa hendak menyatakan hal seperti: “Dalam program jaga syara’, luar program tak jaga.” Bukan. Pada saya isu itu sepatutnya semua makruf. Semua tahu di dalam dan di luar program, tetap syara’ itu perlu dijaga.

Tetapi saya hendak mengajak pembaca melihat lebih dari itu.

Yakni semangat dan kerseriusan kita.

Biasanya, di dalam program Islami, di dalam usrah dan sebagainya, kita berdentam dentum hebat berbicara akan Islam, bila ada program-program, kita keras berusaha dan bersemangat sentiasa sepanjang waktu program. Kita hendakkan program itu berjaya, kita hendakkan program itu cemerlang.

Maka, persoalan di sini, apakah keseriusan dan semangat itu hidup dan kekal selepas tamat program-program? Apakah wujud keseriusan dan semangat itu di dalam kehidupan kita?

Keseriusan dan semangat hendak membumikan Islam 24/7 dalam kehidupan kita.

Maka jangan melayan Islam seakan ia adalah program kelab@persatuan

Jangan kita nampak bahawa Islam itu satu formaliti. Tetapi Islam itu perlu kita lihat sebagai satu tatacara hidup. Apabila kita melihatnya sebagai tatacara hidup, sepatutnya kita faham ia perlu berjalan sepanjang kehidupan kita.

Maka kita perlu serius dan bersemangat menghidupkan Islam dalam segenap keidupan kita. Bukan di kala tertentu, bukan pada tempat tertentu, bukan untuk satu jangka masa tertentu. Bukan da bukan.

Bukan di masa program sahaja kita semangat berbicara akan Islam, bukan di dalam usrah sahaja kita hendak berbicara akan Islam, bukan semasa event-event tertentu sahaja kita hendak bekerja untuk Islam.

Sepatutnya, setiap gerak langkahan kita, setiap saat dan waktu kita, semua itu kita lalui dengan keseriusan dan semangat hendak melaksanakan Islam, dan meluaskannya.

Kefahaman inilah, yang akan melahirkan satu kekuatan.

Kekuatan dalam merealitikan Islam sebagai cara kehidupan.

Penutup: Kefahaman ini, kefahaman yang perlu ditanam

Pada saya, apabila kita memahami perkara ini, ia akan menjadikan diri kita lebih sensitif dan peka terhadap Islam itu sendiri. Kita akan melihat betapa Islam itu besar dan bukan boleh digerakkan sambil lewa bermain-main.

Islam adalah sesuatu yang besar, yang perlu digerakkan dengan bersungguh-sungguh.

Sesungguhnya, kemuliaan dan kekuatan itu, tidak akan sesekali datang dalam keadaan bergolek.

Sumber : langitilahi.com


Baca Seterusnya / Read More

INTELEKTUAL ONLINE BOOK (IOB)

1511th (KOMBAT)



“anak muda, sekacau mana sekalipun, akan kembali kepada fitrah. Dalam diri enta ada seberkas cahaya, bersinar terang-benderang, tetapi tertutup oleh tirai nafsu dan lalai.” Tuan guru melekapkan telapak tangan pada dada.

Kini Muhammad Ameen yang berasal dari Kelantan adalah salah seorang ahli futuwwah selepas berbaiah dihadapan gurunya. dia tidak tahu bahaya dia bakal berhadapan dengan satu dugaan yang besar dan seluruh dunia memerlukannya!.

60. Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).

Novel ini mengisahkan latar masa yang berlaku pada tahun 1511H atau 2087 Masihi. Berbekalkan ayat 60 surah Al-Anfal, Hajjah Nusaybah seorang hartawan Islam mengambil masa berpuluh tahun untuk menyiapkan kelengkapan perang yang canggih secara rahsia. Semuanya melibatkan pemuda dan pemudi termasuk cucu-cucu dia sendiri. Masanya hampir tiba apabila Amerika pimpinan seorang Yahudi gila berlagak seperti Abrahah dan ingin menghancurkan Kaabah dan Makam Rasulullah. Komander yang terakhir telah dikesan. Beliau bernama Muhammad Ameen yang berada di Nusantara berumur 19 tahun dan akan masuk 20. Hafal Al-Quran dan mengagumi syair-syair Hamzah Fansuri. Beliau terpilih dalam pada remaja melayu pada masa itu kebanyakannya sudah tidak mengenali Rasulullah.

Novel hebat ini bakal menjadikan anda menangis. Ia menyaksikan bagaimana Allah membantu untuk melindungi jasad Rasulullah apabila ingin dibom oleh tentera Amerika sebagai tanda perang sudah bermula. Ia juga menyaksiakan bagaimana tentera pemuda Islam beserta cyborg dan sarcos dengan dibantu oleh Allah mempertahankan Mekah dan Madinah daripada dicerobohi oleh tentera kafir.

Ia tidak berakhir di situ sahaja. Tentera pemuda Islam itu malah melakukan serangan balas dan cuba menawan Washington DC dan New York. Berbekalkan dengan Mikraj, sebuah pesawat yang boleh terbang laju dan bertukar menjadi kenderaan tempur di darat, mereka tidak pernak serik dan berhenti. Di antara senjata rahsia mereka yang paling hebat adalah Ababil yang dikawal sepenuhnya oleh komander Muhammad Ameen.

Penyair sufi pernah berkata, “tutup bibirmu, matamu, telingamu; tertawakanlah aku, jika tak Nampak olehmu rahsia kebenaran.”

Baca buku ini dan saksikan bagaimana tentera pemuda yang tinggi keyakinannya kepada Allah menawan Wasington sebelum menukarkan rumah putih menjadi Masjid Putih.

Catatan:
1. Antara senjata yang digunakan; bio-bots (lipas dan belalang yang membawa beg berteknologi), cyborg, cipher, sarcos, ababil, mikraj, hydrogen sianida, mikrob pemakan logam, laser.
2. Anda akan menangis..
3. Mereka adalah remaja beretika
4. Latar cerita mudah dibayangkan. Macam tengok movie
5. Komander Muhammad Ameen adalah orang melayu

“aku tidak akan berhenti untuk bermimpi dan bekerja. Mereka tidak pernah redha dengan Islam. Mengapa aku harus berehenti?”
~kamsar, 18th September 2010, 11.23am~

Tajuk: 1511H [KOMBAT]
Tebal: 412 mukasurat
Penulis: Faisal Tehrani
Harga: RM24.00
Kedai: MPH Bookstores SDN BHD Jusco Taman Universiti
Penerbit: Utusan Publication & Distributors SDN BHD


EXCO PENERANGAN & MULTIMEDIA
PERSATUAN i RAKAN


Baca Seterusnya / Read More

Kes Puaka UM : Kemenangan seluruh mahasiswa - Idris



Kuala Lumpur, 25 Sept 2010 - Presiden GAMIS menyifatkan kemenangan lima mahasiswa Universiti Malaya di dalam kes 'Puaka UM' semalam sebagai kemenangan kesemua mahasiswa di seluruh Malaysia.

Mohd Idris Mohd Yusuf berkata kemenangan tersebut merupakan satu suntikan kepada para aktivis mahasiswa untuk terus berani dan terus memberi komitmen dalam agenda perjuangan mahasiswa.

"Walaupun apa yang ada di hadapan kita, sama ada tekanan, penjara dan sebagainya, kita mahasiswa sudah lalui kesemua itu" ujarnya.

Untuk itu, katanya, mahasiswa perlu meneruskan semangat untuk berjuang dan terus berani dalam menegakkan keadilan dan membela rakyat.

Beliau yang dihubungi mygamis.blogspot semalam mengucapkan syukur kepada Allah atas kemenangan dan menyatakan bahawa mahasiswa bukanlah penjenayah seperti yang dituduh.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh mahasiswa dan ahli-ahli GAMIS yang memberikan sokongan kepada lima mahasiswa tersebut dan menggesa sokongan tersebut diteruskan kepada isu mahasiswa UKM4 akan datang.



Lima mahasiswa tersebut Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Izzudin Helmi Bin Mohd zaini, Mohd Aizat Bin Roslan, Mohd Saufi Bin Jelani dan Mohd Shahruddin Bin Rosli, adalah lima mahasiswa UM yang dituduh melakukan pencerobohan di fakulti.

Mereka bagaimanapun dibebaskan mahkamah setelah mendapati tiada bukti yang menunjukkan mereka berada di tempat kejadian dan telah melakukan pencerobohan.

Pendakwaraya juga gagal membuktikan bukti sebenar dan hanya menggunapakai bukti ikut keadaan tanpa sebarang sokongan yang akhirnya ditolak Hakim Rozana Ali Yusuff.

http://mygamis.blogspot.com


Baca Seterusnya / Read More

Jundullah