Rabu, 16 Jun 2010

BERTUDUNG BIARLAH IKUT SYARIAT BUKAN ADAT





Pada hari ini ramai yang bertudung tetapi seolah-olah bertelanjang. Apa tidaknya, memakai tudung hanya trend dan fesyen. Bertudung tetapi berseluar ketat, bertudung baju ketat, bertudung tetapi berlengan pendek, bertudung tetapi memakai skirt singkat, bertudung tetapi berkain belah, bertudung tetapi tidak labuh menutup dada. Inilah fenomena yang berlaku pada hari ini di dalam masyarakat kita.

Fenomena yang berlaku, nabi kita Muhammad saw telah memperingatkan kepada kita sejak 1400 tahun dahulu.

Bermaksud

“Di akhir zaman akan berlaku di kalangan umatku wanita yang berpakaian seperti telanjang. Atas kepala mereka seperti bonggol unta, laknatlah mereka kerana wanita yang dilaknat”

Hadis tersebut nabi sudah menjangka akan berlaku kepada wanita-wanita dari umatNya di akhir zaman nanti, ada yang memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat, nipis sehingga menampak kulit, ketat hingga menampak labu punggung, pinggang, bonjolan buah dada, rusuk dan lain-lain, rambut digubah mengikut fesyen semasa sehingga terjadi seperti bonggol unta yakni tinggi membonggok. Mereka dilaknati Allah di dunia dan menjadi penghuni neraka di akhirat kelak.

Sebenarnya fenomena mendedahkan aurat sudah balik sebelum tahun 1980 an iaitu awal abad 15 hijrah. Pada ketika mula kebangkitan, orang yang mendedahkan aurat dianggap pelik. Pengalaman saya sewaktu berada di UKM dahulu, hendak mencari pelajar Islam yang tidak bertudung seorang dalam sepuluh orang agak payah. Sekarang berlaku sebaliknya. Pada hari ini kalau muslimat yang memakai tudung dan berjubah di pusat membeli belah seolah-olah rusa masuk kampung. Anggapan mereka, bertudung seperti itu tidak mengikut trend. Bertudung ikut syariat nampak tua.

Marilah kita muhasabah diri kita dan ahli keluarga kita supaya menghayati dengan surah al-Nur ayat 31,

“…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka; (al-Nur, 31)

Yakni hendaklah mereka melabuhkan tudung kepala mereka hingga menutupi leher dan dada mereka . Al-Juyub dalam ayat di atas adalah kata jama’ (plural) bagi kalimah al-Jaib iaitu bulatan atau belahan pada bahagian atas baju yang dibuat untuk mamasukkan kepala ketika memakainya (iaitu leher baju). Namun yang dimaksudkan ialah kawasan belahan atau bulatan tersebut pada badan iaitu bawah leher bahagian atas dada di mana kawasan tersebut termasuk dalam aurat yang mesti ditutup maka kerana itu diperintahkan supaya dilabuhkan tudung hingga ke situ. Menurut ulama’ ayat ini sekali gus menjadi dalil bahawa dada dan leher perempuan adalah aurat. Tidak harus dilihat oleh ajnabi dan oleh itu tidak harus didedahkan kepadanya.

Diriwayatkan bahawa Saidatuna Aishah r.a pernah menceritakan “Semoga Allah merahmati wanita wanita Muhajirin yang awal di mana takkala Allah menurunkan ayat ini, mereka segera mengambil kain kain yang ada pada mereka lalu bertudung dengannya

Menurut ahli Tafsir menjadi kebiasaan wanita-wanita pada zaman jahiliah berjalan di hadapan kaum lelaki dalam keadaan terdedah dada leher mereka serta menampakkan lengan mereka. Adakalanya mereka mendedahkan tempat-tempat fitnah pada badan mereka dan melepaskan ekor-ekor rambut mereka bertujuan membangkitkan perasaan ghairah kaum lelaki pada mereka. Apabila memakai tudung kepala , mereka melepaskan kebelakang mereka (yakni ke punggung mereka). Adapun bahagian depan dibiarkan tanpa menutup menyebabkan terdedah leher dan dada mereka.

Apabila datangnya Islam , Allah memerintahkan wanita-wanita beriman agar melabuhkan tudung-tudung mereka ke bahagian depan mereka hingga menutup dada dan leher mereka dan dengan itu selamatlah mereka dari sebarang fitnah dan perbuatan jahat. Oleh itu tudung yang dipakai oleh kebanyakan wanita pada hari ini tidak menepati dengan syara’ kerana ia tidak menutup dada sehingga menimbulkan keghairahan kepada orang lelaki. Begitu juga kalau bertudung tetapi memakai baju yang berlengan pendek dan baju yang ketat. Ini tidak termasuk di kalangan wanita yang beriman dengan surah al-Nur.

Klik gambar untuk melihat dengan lebih jelas.



Hikmah wanita diwajibkan menutup aurat

Setiap sesuatu yang diperintahkan Allah mempunyai hikmah atau rahsia yang tersendiri. Antara hikmahnya ialah

1.Untuk menutup pintu fitnah kerana ia merupakan punca tercetusnya keinginan yang ada dalam diri manusia. Apabila keinginan nafsu mempengaruhi hati, biasanya seorang itu hilang pertimbangan akal lalu mudahlah ia melakukan perbuatan mungkar mengikut apa yang diperintah oleh nafsunya.

Sabda Rasulullah SAW

Bermaksud

“Tidak ada selepasku ini fitnah yang lebih bahaya kepada lelaki selain daripada perempuan”

2.Untuk menghindarkan kegiatan maksiat yang berpunca dari mata. Seluruh tubuh wanita atau bahagian-bahagian tertentu dari tubuh lelaki menjadi daya penarik yang mempesonakan pandangan mata kaum pihak yang berlainan jenis. Dari rasa persona itu boleh menajamkan keinginan ke arah melakukan maksiat seperti zina dan sebagainya.

3.Pandangan mata ada kaitan dengan hati. Mata yang selalu melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan atau lelaki menyebabkan hati menjadi gelap. Hati yang gelap tidak dapat ditembusi cahaya nur keimanan, manakala Iman yang lemah tidak dapat melahirkan individu muslim yang benar-benar taqwa. Oleh itu amalan menutup aurat adalah untuk menolong seorang lain daripada terlibat dengan dosa dan menjejaskan imannya akibat memandang aurat yang sengaja didedahkan oleh sipelakunya. Sesungguhnya amat buruk perbuatan seseorang yang kerananya menyebabkan orang lain terpalik dosa.

4.Wanita solehah diperintah menutup aurat dengan sempurna adalah untuk membezakan dengan wanita Islam yang rosak akhlak atau wanita kafir. Wanita-wanita tersebut biasanya tidak tahu menghargai nilai kesopanan diri. Mempamerkan kecantikan tubuh untuk mendapat pujian orang lain adalah menjadi kebanggaan mereka. Demikianlah rendahnya moral mereka. Tabiat ini seharusnya tidak menguasai peribadi wanita-wanita mu’min dan mereka semua diarah menjaga ketinggian maruah diri yang dibentuk oleh Islam menerusi tingkah laku yang baik.

5.Keseluruhan hidup setiap individu Muslim tertakluk kepada disiplin yang ditentukan syarak. Perintah menutup aurat adalah disiplin yang dimaksudkan itu. Di samping mengandungi hikmah tertentu, peraturan mengenai aurat itu adalah sebagai ujian iman ke atas umat Islam untuk mengukur sejauh mana peraturan tersebut dapat dipatuhi. Pengakuan dengan lidah sahaja bahawa ia telah pun beriman sebenarnya tidak akan diiktiraf oleh Allah tanpa lulus ujian amali. Ini dipersyaratkan oleh Allah berbunyi,

Bermaksud,

“Apakah manusia menyangka mereka dibiar berkata kami telah beriman sedang mereka tidak diuji (keimanannya)” (Al-Ankabut, 29: 2)

Sekiranya seorang itu sanggup patuh kepada disiplin Islam sepanjang hayatnya, maka itu tanda orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya dan jika sebaliknya, maka ia belum layak lagi menduduki taraf Muslim yang mu’min kerana imannya masih lemah. Seorang yang imannya lemah perlu dipertingkatkan dengan rawatan rohani sebelum dijemput ke alam barzakh. Oleh itu waspada sebelum terlambat.

Bentuk pakaian perempuan yang beriman



Klik gambar untuk melihat dengan lebih jelas.

1. Harus menutup semua badan, selain daripada yang telah dikecualikan oleh al-Quran dalam firmannya:
“Apa-apa yang biasa tampak” (Al-Nur, 31)

Menurut pendapat yang lebih kuat, iaitu muka dan dua tapak tangan.

2. Tidak nipis sehingga nampak kulit. Sebab sesuai apa yang dikatakan Nabi:

“Sesungguhnya termasuk ahli neraka, yaitu perempuan- perempuan berpakaian tetapi telanjang, yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk berbuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Muslim)

Maksud berpakaian tetapi telanjang, yaitu: pakaian mereka itu tidak berfungsi menutup aurat, sehingga dapat mensifati kulit yang di bawahnya justru kerana nipis dan sempitnya pakaian itu. Beberapa orang perempuan dari Bani Tamim masuk rumah Aisyah, dengan berpakaian yang sangat tipis, kemudian Aisyah berkata: “Kalau kamu sebagai orang mu’min, maka bukan ini macamnya pakaian orang- orang perempuan mu’min itu.” (Riwayat Thabarani dan lain-lain). Ada pula seorang perempuan yang baru saja menjadi pengantin, dia memakai tudung yang sangat nipis sekali, maka kata Aisyah kepadanya: “Perempuan yang memakai tudung seperti ini berarti tidak beriman dengan surah an-Nur.”

3. Tidak ketat sehingga menampak bentuk anggota badan dan menampakkan bahagian-bahagian yang cukup menimbulkan fitnah dan membangkitkan syahwat. Sedang yang memakainya itu sendiri seperti berpakaian tetapi telanjang.

4.Bukan pakaian yang dipakai oleh orang laki-laki seperti di zaman kita sekarang ini. Sebab Rasulullah s.a.w. pernah melaknat perempuan-perempuan yang menyerupai laki-laki, dan laki- laki yang menyerupai perempuan. Begitu juga Rasulullah s.a.w. pernah melarang perempuan memakai pakaian laki-laki dan laki-laki memakai pakaian perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w

“Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW melaknati lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan memakai pakaian lelaki”

Kesimpulan

Keseluruhan ulama’ Islam bersepakat bahawa wanita dan lelaki Islam wajib menutup auratnya. Mendedahkan aurat hukumnya adalah haram dan berdosa. Marilah sama-sama kita menghayati surah al-Nur dalam kehidupan keluarga kita dan jamaah kita. Biarlah orang melihat ahli jamaah kita ada tamayyuz (beza) dengan orang lain. Secara tidak langsung akan menarik perhatian masyarakat untuk bersama dengan perjuangan kita.


Baca Seterusnya / Read More

Jundullah