Ahad, 25 April 2010

Cerpen Cinta: Naim Si Budak Agama



Naim pelajar tingkatan 5 di sebuah Sekolah Agama Persekutuan.Dia seorang yang tinggi ilmu agama dan mempunyai politik yang agak stabil di sekolah dan Siqahnya(Kepercayaan orang terhadapnya) tinggi.Apabila Ustaz tiada di antara Magrib dan Isyak,dia akan ke hadapan.Samada memberi tazkirah atau mengepalai bacaan Mathurat.Pergaulan dengan perempuan dijaga dengan begitu sempurna,jika mesyuarat terpaksa bercampur lelaki dan perempuan,sama sekali dia tidak akan mengangkat pandangannya.Semua orang menghormatinya,baik yang junior mahupun senior,baik yang laki-laki mahupun perempuan.Jika ada senior yang tengah membuli junior,jika Naim ada di tempat kejadian,proses buli itu akan bertukar menjadi majlis maaf-bermaafan.Inilah ‘kuasa’ Naim di sekolahnya.

Dia menjadi contoh teladan bagi setiap pelajar sekolahnya.Setiap mata-mata yang wujud di sekolah itu selalu memerhatikan pergerakannya dan mengambilnya sebagai contoh kehidupan yang paling sempurna.Dek kerana mengetahui banyak mata memerhatikannya,dia betul-betul menjaga akhlaknya.Bukan kerana manusia tetapi kerana Allah.Niatnya hanya satu,supaya Islam itu terpancar dari dirinya.Hebatnya dia dalam menjaga akhlaknya, tidak ada seorang pun di dalam sekolahnya melainkan teman sebiliknyanya yang pernah melihat kulit badannya walaupun dia seringkali bermandi-manda di kolah berhampiran dengan surau.


Sudah pasti,ramai perempuan yang menggilainya walaupun dia tidak mengetahui hal itu.Di hadapannya semua baik,tunduk dengan penuh tawadukknya tapi berlalunya Naim dari tempat itu,mula lah mulut mereka bergerak memuji dan mengumpat tentang Naim.Bukan sahaja pelajar biasa yang meminati Naim tapi ada juga pelajar-pelajar perempuan yang memegang tampuk kepimpinan sekolah yang meminatinya cuma tidak disuarakan, bimbang ditegur dan yang paling mereka takuti,takut cinta mereka ditolak.Tambahan pula Naim banyak kali mengingatkan pelajar-pelajar supaya menjauhi zina hati,zina yang tidak dapat dilihat dan tidak dapat dirasa tatkala dia memberi tazkirah.

Namun,hatta nabi Sulaiman yang menjadi raja dunia itupun diuji Allah,inikan pula seorang pelajar sekolah agama yang ilmu agamanya masih bertatih, bahasa arabnya masih merangkak-rangkak.Dia diuji dengan kehadiran seorang pelajar perempuan yang baru pindah ke sekolahnya.Namanya Nisa, Khairun Nisa.Orangnya putih,bertahi lalat di pipi sebelah kanan sedangkan Naim di sebelah kiri.

“Ana Khairun Nisa,sila beri tunjuk ajar.”Nisa memperkenalkan dirinya.

Dalam mahu yang bercampur dengan iman di dalam hatinya,Naim melihat Nisa dengan sipi-sipi matanya sahaja. Ingin dia merenung Nisa dengan lebih tajam tapi iman di dadanya masih kukuh bak tembok besar cina.

“Cantiknya,”hati Naim bermonolog.

Tidak sampai sekelip matapun,imannya menampar hatinya.Dia terus sedar dari diulik oleh syaitan dan lantas dia beristighfar,memohon ampun daripada Tuhan dek kerana melakukan zina,zina hati.Ingin sahaja matanya mengeluarkan bintik-bintik mutiara tanda sesalnya dia akan dosanya namun selaput kaca di matanya masih tebal.Mungkin penyesalannya masih belum kuat untuk memecahkan selaput kaca itu.

Saat berganti saat,hari berganti hari,Nisa pun terpilih untuk menjadi salah seorang AJK surau sekolah dek kerana dia asyik ke surau berbanding dengan pelajar-pelajar yang lain.Subuhnya di surau,Dhuhanya di surau,Zohornya di surau,Asar,Magrib dan Isyaknya di surau.Seringkali Naim terdengar suara wanita sedang membaca Al-Quran di balik tabir biru yang memisahkan lelaki dan perempuan,ingin dia mengintai siapakah gerangan hamba Allah itu tapi iman masih tebal menyelaput hati nafsunya.Ditakdirkan Allah,suatu hari dia ternampak Nisa masuk ke surau perempuan,maka tahulah dia bahawa suara perempuan yang didengar selama ini ialah suara Nisa.

Sedang dia sedang bersendirian berdoa selepas solat sunat Dhuha,dia terdengar satu suara perempuan meminta tolong dari balik tabir.Suara perempuan itu sayup-sayup.

“Ish..Nak tolong ke tak..Kalo aku masok belah pompuan,bukanke khalwat..ye la,mane ade orang…aku dan die je..takley,aku mesti bagitau ustaz hal ni,biar ustaz tolong..”Imannya bersuara.

Tapi 1 tetap kalah kepada 2.Imannya kalah dengan nafsu dan syaitan yang menggodanya.

“Kalo aku tak tolong,maybe…em…aku intai dulu la,kalo serius aku tolong segera kalo tak,aku lapor kat ustaz,”akal mula campur tangan.

Tabir biru itupun diselaknya dan dia mendapati jari Nisa terkepit di almari Quran.Walaupun sakit Nisa tetap menahannya,bimbang maruahnya jatuh di hadapan seorang ketua badan Agama sekolahnya.Dan ketika itulah makhluk durjana yang bernama syaitan mula mengambil peranan.Disuntiknya bius-bius dosa ke dalam hati Naim supaya Naim tidak terasa melakukan dosa.

“Em..Aku kene lapor kat ustat ke?Patot ke aku tolong?Bley ke aku pegang tangan die?Dose..”Imannya bersuara.

“Ah,darurat,darurat.Even babi pun boleh makan kalo darurat.”Akal yang dibalut dengan nafsunya membuat pertimbangan.

“Betul juga,ok,aku tolong.”Hatinya membuat keputusan sambil disahkan oleh Syaitan.

“Er,Nisa tahan ek,kejap saya tarik pintu almari ni.”Dia memberi arahan kepada Nisa.

“…ok…”Suara Nisa bagaikan bunyi ikan bersuara,entah dengar,entah tidak.

Pintu almari berjaya dibuka,jari Nisa terlepas dari kepitan almari.Merah bak biji saga jarinya,hampir-hampir saja berdarah tapi kulitnya masih kuat menahan segala isi cecair daripada keluar.Tiba-tiba,Naim tanpa berfikir panjang memegang jari Nisa.Niatnya hanya satu,ingin melihat keadaan jari Nisa.Tapi dengan pantas Nisa menariknya dan berlari turun daripada surau dan menuju ke kelas.

“Ya Allah,apa aku telah buat ni…Aku bukan sengaja melakukannya Ya Allah..Ampunilah aku..”Dia berdoa,menangis menyesal dosa yang baru sahaja dibuatnya sebentar tadi.

Habis sahaja air matanya kering,hatinya diketuk dengan pelbagai soalan.Bukan soalan agama tetapi soal maruah dan Siqahnya.Bagaimana jika Nisa menceritakan hal tadi kepada kawan-kawannya?Bagaimana kalau cerita itu bocor kepada junior-juniornya?Kalau ustaz dapat tahu,pasti dia akan dilucutkan dari segala jawatan yang disandangnya sekarang.Dia akan dicemuh dan dihina.Dia tidak akan dapat peluang ke depan lagi sewaktu ketiadaan ustaz.Dia bimbang bercampur keliru.

Lamunannya tersentak apabila satu suara memberi salam untuk masuk ke surau.Peluh-peluh resah dan gelisah mengalir di pipi kanannya,dia masih di dalam bahagian surau wanita.Apa yang harus dijawab jika ditanya. Ya,menipu.Menipu adalah jalan penyelesaian yang terbaik buatnya sekarang.Lagipun dia cam suara itu,itu suara Khairul,teman sebiliknya.Baginya tidaklah berdosa menipu teman sebilik yang akrab dengannya.

“Eh,Im.Ape ko wat lam surau pompuan tu?”Soal Khairul,kelihatan di mukanya perasaan ingin tahu.

“Eh,takde ape-ape la.Aku just check samada quran cukup tak belah pompuan.”Jawab Naim.

“Owh,baguslah wat kerja baik atas rumah Allah ni.Insya Allah ko dapat pahala,taknak share ngan aku?”gurau Khairul.

Gurauan yang pada dasarnya kelihatan seperti satu lawak bodoh tetapi ada perkataan-perkataan yang menghantui fikiran Naim iaitu ‘RUMAH ALLAH’.

Ya,di atas rumah Allah inilah Naim melakukan maksiat.

Di atas rumah Allah inilah Naim menipu.

Semuanya di atas rumah ini,rumah kepunyaan Tuan segala tuan.

Tiba-tiba dia menangis tetapi bukanlah menangis seperti anak kecil menangis.Hanya air mata sahaja mengalir di atas pipinya yang sedikit cengkung.Khairul terkejut melihat Naim menangis dan bertanya sebab Naim menangis tetapi Naim hanya berdiam.Khairul membuat andaian sendiri,pada pendapatnya mungkin Naim menangis kerana bertaubat.Lantas perasaan cemburu mula menguasai dirinya.Inilah dia tanda orang beriman,pantang melihat orang lebih dekat dengan Kecintaan nya,pasti dia cemburu.

“Eh Im,kelas da nak start.Jom!”Ajak Khairul.

“Ok,”balas Naim.

Pelajarannya selepas waktu rehat tadi tiada makna.Sepatah kata yang keluar dari mulut cikgu-cikgunya tidak satupun diingati atau diberi perhatian.Matanya tajam memandang ke arah papan hijau di hadapan kelas tetapi fikiran jauh ke laut mencari ketenangan.Jasadnya wujud tapi ruh akalnya tiada.Bukan sibuk memikirkan penyelesaian tetapi sibuk mencari masalah-masalah yang akan timbul jika cerita tadi diketahui umum.

Rupa-rupanya,bukan Naim sahaja yang berjasad tanpa akal,begitu juga dengan Nisa.Cuma ada kelainannya. Nisa sama sekali tidak bimbang tentang nasibnya jika cerita itu bocor atau ada mata yang terpandang peristiwa tadi tetapi kepalanya sibuk memikirkan tentang Naim.Kedudukannya di dalam kelas menyebabkan matanya tidak berkelip memandang Naim dari belakang.Baginya,alangkah bertuah sesiapa yang dapat menawan hati Naim. Kesopanan dan kebaikan yang ditunjukkan oleh Naim sebentar tadi,betul-betul memikat hati suci si gadis ini.Begitulah nasib si Abid tanpa Ilmu.Pantang ditiup angin,pasti dia rebah.

Tangan mula mengambil peranan,diambilnya pen merah jambu kesukaannya dan diambil sehelai kertas memo yang berada di dalam laci mejanya.Sepucuk surat ditulis sebagai tanda terima kasih buat si jejaka budiman. Surat sahaja tidak cukup,dibelinya sekotak air laici yang berharga 80sen dengan duit seringgit.Bakinya dibeli sebatang choki-choki,juga sebagai hadiah.

Seperti kebiasaannya,Naim datang ke kelas seawal mungkin.Selesai sahaja solat Zohor berjemaah dan makan di dewan makan,tanpa menyalin pakaian,dia terus ke kelas.Baginya masa itu emas dan tidak boleh dibazirkan walaupun sesaat.Masih banyak pelajaran tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang belum dikuasainya.Tabiatnya ini menjadi ikutan sesetangah pelajar yang lain.Pabila dia melangkah kaki ke dalam kelas,alangkah terkejutnya dia apabila dia melihat sepucuk kertas yang dilipat 2 dan ditindih dengan sekotak air laici dan sebatang choki-choki.

Isi suratnya:

Salam..

Terima kasih kerana tolong ana..

Kalau anta takde tadi,tatau la macamana ana nak buat..

Jangan bimbang,ana tidak akan membocorkan hal tadi kepada orang lain..

Ukhwah Fillah,

Nisa’

Sambil menghirup air laici dalam kotak itu,dia tersenyum.Dengan mengoyak plastik depan choki-choki,dia membetulkan kerusinya,mempersiapkan dirinya untuk menulis surat balas kepada Nisa.Sebaik sahaja pen nya ingin menyentuh dada kertas putih berbelang biru itu,dia terfikir alangkah bagusnya kalau dia mempunyai pen berwarna-warni supaya Nisa tidak jemu membacanya.Mata hitamnya terpandang bekas pensil kawan di hadapannya.Tidak pernah dia menyentuh barang orang lain tanpa izin tapi kali ini tidak lagi.Entah kawannya bagi atau tidak,dia terus menggunanya atas alasan yang sangat biasa, “standardla,kawan..”Maka bermulalah kisah cinta Naim,Si Budak Agama.Balas dia:

Salam,

Terima kasih atas minuman dan makanan yang saudari bagi,

Ana tidak buat apa-apa melainkan untuk menolong insan dalam kesusahan,

Bukankah Islam menyuruh kita menolong orang dalam kesusahan?

Moga Allah meredhaai kita,

Dan,salam perkenalan.Ana Naim.

Naim

Diselitnya surat ini ke dalam buku latihan Nisa’ dengan harapan yang membulat.Maka,Naim dan Nisa mula berbalasan surat.Walaupun pada awalnya,kedua-dua merasa kekok dek kerana dua-dua mempunyai tapak agama yang boleh dikatakan kukuh. Ada juga Nisa bertanya di dalam suratnya, “Kita berbalas surat ni,tak salah ke di sisi Islam?”

Pening juga Naim dibuatnya namun disejukkan hatinya dan hati Nisa dengan jawapan, “Takpe,kita dating tak pernah.Bertentangan mata jarang sekali. Kita Ukhwah Fillah.Kita berhubungan inipun semata-mata kerana Allah.Kita niat untuk berkahwin,bukan untuk buat maksiat.”

Nisa membalas, “bagaimana pula dengan zina hati?”

Lalu Naim membalas, “mana ada zina hati.Zina hati tu ulamak yang buat dengan tujuan umat Islam tidak mendekati zina.Rasulullah tak kata pun.Lagipun cinta ini fitrah,masakan Allah zalim mengharamkan apa-apa fitrah manusia?” Hilang sudah prinsip yang dipegangnya selama ini.

Walaupun Nisa tidak berpuas hati dengan jawapan Naim,namun dek kerana cintanya dia kepada Naim,di’iya’kan sahaja ‘fatwa’ kekasihnya itu.

Naim dapat mengesan rasa sangsi kekasih hatinya melalui gaya bahasa dan cara penulisan yang agak sedikit berbeda,lalu dia membalas, “Nisa’,bukankah Allah berfirman bahawa perempuan baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik?Ana yakin anti baik dan ana pun yakin yang anti rasa ana baik.Tidak sekali Allah kata isteri yang baik untuk suami yang baik tetapi Allah kata perempuan dan lelaki bermakna belum berkahwin pun takpa.Anti meragui Quran?”

Terdiam Nisa’ membaca ‘fatwa’ baru buah hatinya itu.Ingin dia membantah tetapi bimbang dianggap meragui Quran. Mindsetnya yang mengatakan buah hatinya mempunyai ilmu setinggi langit itu menyebabkan dia semakin yakin dengan ‘fatwa-fatwa’ itu.

Siqah bukanlah kerja manusia.Pengaruh bukanlah kawalan manusia.Hati manusia tidak boleh dibeli dengan mata wang, kesetian tidak boleh diperdangkan dengan kemewahan.Semuanya hak mutlak Allah,Tuhan yang membolak balikkan hati manusia.Jika Dia menghendaki seseorang itu mulia,maka mulialah orang itu walaupun pada awalnya dia hanya seorang anak yatim piatu.Jika Dia menghendaki seseorang itu hina,maka hinalah orang itu di atas tahtanya sendiri.Semuanya bukan dengan tiba-tiba tetapi ada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Nya yang diberi nama Sunnatullah.

Kepercayaan manusia terhadap seseorang itu akan datang bila dia mendekatkan diri dengan Tuhannya. Kesetiaan seseorang terhadapnya menjadi lebih solid pabila dia menyempurnakan apa yang dilafaznya.Inilah hukum yang ditetapkan Ilahi.

Makin hari,pengaruh Naim semakin jatuh.Kawan-kawan dan junior-juniornya semakin bosan dengannya.Sebab?Tiada. Jelas sekali soal hati,Dia yang punya.Hidup Naim juga menjadi tidak tentu hala.Dulu dia berbaju ketika mandi di kolah,kini tidak lagi.Pertimbangan akal menjadi semakin kurang,mungkin terlampau tebal kabus dosa yang menutupi hatinya.Siqahnya kian jatuh.Terkadang dia dimarahi oleh cikgu-cikgu kerana prestasinya yang kian merosot.

Dia merasakan tekanan semakin bertambah.Tiada lagi sakinah yang dianugerahkan kepadanya dulu.Tiada lagi senyuman tatkala kesusahan.Tiada lagi nasihat-nasihat penenang yang mampu diberi pabila adik-adik datang meminta nasihat.

Jika dulu dia mampu mengambil tugasan luar walaupun ketika peperiksaan bulanan dijalankan,kini tidak lagi.Bukan peperiksaan pun dia tidak dapat mengatur masa dengan baik.24 jam baginya tidak cukup.Masa untuk dia belajar,masa untuk dia berpersatuan dan masa untuk Nisa.Pernah dia berdoa meminta diberi 1 jam lebih tapi dia tidak sedar bahawa jika dia diberi 100 jam lebih pun,pasti tidak mencukupi.

Khairul merasa hairan dengan perubahan sikap kawan sebiliknya itu.Kadang-kadang tersenyum seorang diri,kadang-kadang masam dan kadang-kadang seperti bercakap seorang diri.Naim seakan-akan gila.Betul Naim gila,gila bayang.Panahan syaitan benar-benar telah menusuk ke dalam hatinya,membuat satu lohong iman di dalam hatinya.Khairul cuba bertanya mengapa dia seakan-akan berubah tapi dimarahnya Khairul, “kubur lain-lain,syurga lain-lain,neraka pun lain-lain!”

“Betul,sebab lain-lain la aku nak tanya ko.Mane la taw ko ade masalah,bimbang takut di sana pun ko ade masalah.”Ujar Khairul.

“Ko taw kan firman Allah, kuu anfusakum wa ahli kum naara?”Soal Naim.

“jagalah diri kamu dan ahli keluarga mu daripada api neraka..jadi?”Jawab Khairul.

“Jadi?!Aku ahli keluarga kau ke?!”Marah Naim lagi.

Khairul terdiam sedar bahawa ilmunya tidaklah setanding dengan Naim.Perasaan kesal timbul dalam hatinya atas tindakan sahabatnya sebentar tadi.Namun,atas dasar silatur rahmi kerana Allah,dia nekad untuk mengetahui punca Naim berubah. Baginya pokok tidak akan bergoyang jika beruk tiada di dalamnya.Walaubagaimanapun,Khairul tidaklah selicik Naim, dia buntu apabila memikirkan adakah tindakannya selari dengan Islam atau berserenjang dengan Islam.Lalu disampaikan isi hatinya kepada Ustaz Faidi, Mentornya.

“Er Ustaz,saya ada masalah nak bincang dengan ustaz.”Bagitahu Khairul.

“Ma?”Soal Ustaz balik.

“Ustaz,saya bimbang dengan Naim,teman sebilik saya.Perangainya seperti sudah berubah.Dia macam bukan dia..Er, tataw nak terang macamana..”Terang Khairul.

“Na’am,ana pun perasan perubahan pada Naim.Dia dah bukan macam dia yang dulu.Banyak perubahannya.”Tambah Ustaz.

“Saya rasa,ada yang disembunyikan olehnya Ustaz dan saya rasa,ada baiknya saya menyiasat..Bolehkah ustaz?”Soal Khairul.

“Dalam Islam,mengintai mencari kesalahan orang ini diistilahkan sebagai Al-Tajassus.Hukumnya asalnya haram tapi boleh berubah menjadi harus pabila diperlukan.Dan dalam keadaan ni,hukumnya harus.”Terang ustaz.

Penyiasatan bermula dan penyiasatan Khairul bertemu dengan jalan buntu.Tiada sebarang benda buruk yang dilakukan Naim.Namun,pabila Allah menghendaki yang gelap menjadi terang,dihilangkan bintang dan diganti dengan matahari. Sepandai-pandai tupai melompat,akhirnya jatuh juga ke tanah.Akhirnya surat yang disimpan selama ini dijumpai oleh Khairul ketika dia sedang membersihkan surau.Rupa-rupanya,surat-surat yang dihantar oleh Nisa’,selama ini disimpan di balik almari al-quran di hadapan tempat imam solat.Terkesima Khairul dibuatnya apatah lagi ketika membaca perkataan-perkataan yang telah berlaku evolusi,daripada ‘ana’, ‘anti’, kini ‘sayang’, ‘ayang’.Daripada ‘ukhwah Fillah’ kini ‘I luv U’.

Khairul tidak salah lagi,surat itu kepunyaan Naim.Tertera nama Naim di atas belah kiri surat, ‘Buat Naim ku sayang’. Dalam tidak sedar,Khairul menangis.Dia betul-betul sedih membaca surat-surat itu,bukan kerana Nisa yang dalam pemerhatiannya juga dirampas orang tetapi sedih bagi pihak Naim.Terngia-ngia di telinganya bacaan ayat 2 dan 3 surah As-Saf yang selalu dibaca oleh Naim ketika menjadi Imam Magrib.Mengenangkan maksud ayat-ayat tersebut yang secara ringkasnya membari maksud melarang orang beriman daripada memberi nasihat tentang apa yang mereka perbuatkan, Khairul terus menangis.

Dari luar surau,kelihatan Naim yang baru sahaja sampai di surau.Tanpa berfikir tentang benda lain,Naim terus memandang ke arah tempat penyimpanan ‘harta karun’nya itu.Terperanjat dia apabila mendapati Khairul sedang memegang ‘harta-harta karung’nya itu dan tanpa berfikir panjang,dia berlari ke arah Khairul.Sekali lagi dia melanggar prinsip yang diajar kepada orang-orang lain supaya menghormati rumah Allah,jangan berlari-lari di atasnya.Dia lupa bahawa dia pernah melarang kawan-kawannya yang bergurau di dalam rumah Allah,katanya bahawa berlari di atas rumah Allah seperti berlari di atas perut ibu sendiri yang sedang sarat mengandung.Entah benar,entah tidak.

Ditolaknya Khairul ketepi dan dirampasnya semua surat-surat yang dipegang oleh Khairul.

“Woi,ape ko buat ni?!!!”Marah Naim.

“Woi?Mana pergi bahasa mu wahai kawan?Mana pergi sopan santun mu wahai kawan?Mana pergi dirimu yang dulu wahai Naim?”Soal Khairul sambil mengesat air mata yang sedang mengalir.Naim terdiam.

“Rupanya,inilah masalah mu wahai kawan.Tiada ku sangka dirimu sedemikian,wahai kawan.Bagiku engkau lah model, engkaulah insan sempurna yang memancarkan sinar Islam ke sekolah ini.Kini kau sirna wahai kawan,kau mutiara yang kian sirna!”Marah Khairul.

“Ah,kau peduli ape!”Naim bersuara walaupun hatinya terkesan dengan kata-kata Khairul.

“Jujur aku tanya,kau couple Im?”Soal Khairul.

“Aku couple ke,aku tak couple ke,tu soal aku la.Dosa biar aku tanggung sendiri!Jangan risau la,aku takkan heret kau masuk neraka sama dengan aku!”Lantang sungguh Naim berbicara.Dia lupa di atas lantai rumah siapakah yang dia pijak sekarang.

Khairul berlalu dari tempat itu dengan penuh penyesalan.Ingin dia salahkan takdir kerana menemukan dia dengan seorang kawan yang hipokrit seperti Naim namun dia akur dengan qada’ dan qadar Ilahi.

Semasa mereka bekelahi sebentar tadi,mereka bukan berdua.Di balik tabir biru itu ada 3 pasang telinga yang mendengarnya secara tidak sengaja.3 orang pelajar junior perempuan baru sahaja selesai mendirikan solat sunat Dhuha mendengar setiap butir perkataan yang keluar daripada mulut mereka berdua.

Malang si Naim.3 orang pelajar itu bukanlah pelajar yang diam sifatnya.Dihebahkan berita Naim berpacaran ke setiap juzuk sekolah sehingga para cikgu pun tahu mengenainya.Ke mana sahaja Naim pergi,pasti ada mata-mata yang memandangnya dengan hujung-hujung mata dan sebaik sahaja Naim pergi,mulalah syaitan berpesta dengan dosa mengumpat.Bertambah malang bagi Naim,dia tidak tahu bahawa semua orang telah tahu dia berpacaran.Tazkirah yang seringkali ditunggu oleh semua pelajar kini dicemuh,dihina dan dikutuk oleh semua yang mendengarnya kecuali kekasih hatinya,Nisa.

Khairul,si sahabat setia ini tidak senang mendengar orang mengumpat sahabat sejatinya. Akhirnya dia berkeputusan untuk menyampaikan sendiri kepada Naim bahawa semua orang sedang mencelanya.

“Im,senanye..Sume orang da taw ko couple..”Bicara Khairul secara perlahan.

“Hah?!”Terkejut Naim.Apa yang ditakutinya kini menjadi realiti.

“Ko bagitaw orang?!!!!”Soal Naim.

“Eh,tak..Aku pun tak taw macamana bley..”

“Ah!! Inilah kawan! Kawan makan kawan! Aku tau dari dulu lagi ko dengki ngan aku, ko dengki ngan jawatan aku dapat!Aku taw kau sengaja nak jatuhkan aku!”Naim memotong dengan lajunya,melebihi had laju yang sepatutnya.

“Demi Allah..”

“Jangan main dengan sumpah!Berani sebut nama Allah dalam wat dosa,dasar…”Sekali lagi Naim memotong,laju benar susun katanya.

“Aku menyesal bagitahu kau,aku ingat kau la kawan aku yang sejati rupa-rupa..”

“Rupa-rupa apa?!Musuh?!”Naim marah lagi.

“Na’am!Musuh Allah,musuh agama Allah!Ko nasihat orang jangan bercouple,jangan zina hati, jangan itu,jangan ini tapi dalam masa sama kau buat!Ko lupa ayat-ayat surah As-Saf yang ko selalu baca tyme jadi Imam?Ko lupa?!Meh aku ingatkan ko! Wahai orang beriman jangan kau melarang apa yang engkau kerjakan,sungguh besar kemurkaan Allah pada engkau! Ya,pada engkau Naim!Allah memurkai mu dan layaknya aku membenci mu!” Balas Khairul dengan penuh perasaan kecewa.Lalu dia meninggalkan bilik dengan menarik tombol pintu dengan sekuat-kuatnya.

Keheningan dan kesunyian malam itu dipecahkan dengan dentuman pintu bilik khas,bilik Naim dan Khairul.Di sekolah itu mereka sahaja yang diberi keistimewaan untuk tinggal di bilik dan orang lain di dorm,memandangkan mereka ialah ketua dan penolong ketua pelajar di sekolah itu.Pelajar-pelajar senior yang mendengarnya keluar dengan berlari,hati mereka ingin benar mengetahui apa yang berlaku namun kelihatan hanya Khairul sedang berjalan menuju ke tandas.Berbeza pula dengan pelajar junior,mereka dengan lajunya menutup lampu dan berpura-pura tidur,bimbang nama mereka dipanggil untuk dijadikan ‘lauk’ para senior malam itu.

Kata-kata Khairul benar-benar menikam qalbu terus ke akal.Tersentak Naim buat seketika. Mimpi ngeri dalam hidupnya baru bermula.Tidak,dia baru sedar yang dia dalam mimpi ngeri. Tindakan segera wajib diambilnya jika tidak Siqahnya akan terus merudum jatuh menyembah bumi.Jika dia terus begini,tiada lagi ‘Abg Naim Si Budak Surau’ atau gelaran ‘Wali Naim’.Tiada lagi kesetiaan,tiada lagi kepatuhan dan tiada lagi insan yang akan menghormatinya menggunakan hati mereka.Apa yang ada hanya lakonan.Buah di luar, duri di dalam.

Dikuatkan hati,diringankan tangan untuk menulis surat terakhir buat kekasih hatinya. Tapi ternyata dia gagal.Semalaman dia tidak lena,pening memikirkan jalan penyelesaian yang pasti tiada jawapannya.Akibatnya,dia tertidur di dalam kelas.

“Naim,bangun!”Arah Cikgu Marlina,cikgu matematik tambahan yang terkenal dengan garang dan keceluparan mulutnya.

Naim terjaga dari lenanya dan terus berdiri.

“Apa dah jadi dengan awak ni?Dalam kelas tidur,luar kelas bercinta!”Marah Cikgu Marlina.

Awan hitam kini melitupi Naim,dia merasa tersangat malu.Bukan arang yang diconteng ke mukanya sekarang tetapi najis,najis manusia,manusia yang bernama Naim,najisnya sendiri. Tiada kata dapat dibalas,dia hanya tunduk terdiam.

Naim bijak dalam beragama tapi dia gagal dalam berpolitik.Dia tidak sedar akan tindakan untuk tunduk dan diam itu bukanlah satu tindakan yang betul dalam berpolitik.Tindakannya itu sepeti dia mengakui kesalahannya dan dalam erti kata lain,dia mengakui bahawa dia sedang bercinta.

Marah Cikgu Marlina tadi bukan sahaja menampar Naim tapi terbias juga kepada pasangannya, Nisa.Nisa tunduk,akur dengan kesilapannya.Kini,dia sedar bahawa dia telah menarik Naim ke lembah kebinasaan.Surat pertamanya,surat tanda terima kasih itu merupakan surat jemputan ke neraka.Dia sudah sedar segala-galanya.Surat,hadiah dan fatwa-fatwa Naim itu merupakan alatan-alatan yang dibuat oleh syaitan.Nampak seperti sesuai dengan syarak tapi penuh dengan unsur kemaksiatan,tidak dapat dilihat oleh mata kasar,hanya mata hati dapat mengesannya.

Cara yang terbaik untuk Nisa sekarang,menulis surat terakhir,surat tanda perpisahan, surat yang akan meniupkan kembali segala kebaikan dan menutup segala keburukan.Dengan nekad yang kuat di dalam hati,keyakinan yang tinggi terhadap Islam,Nisa memegang pen merah jambu kesayangannya dan mula menulis.

Salam sayang,

Sudah hampir 5 bulan kita bercouple,

Ayang percaya yang sayang sudah tahu isi hati ayang,

Ayang benar-benar menyintai sayang..

Sepenuh jiwa dan raga ayang..

Namun,ayang sedar satu benda,benda yang mungkin buat kita menangis,

Dalam kita asyik mengejar cinta Ilahi bersama-sama,kita telah balutinya dengan cinta yang penuh dengan kepalsuan.Cinta manusia yang tidak mempunyai dasar yang kukuh.Kita selesakan diri kita dengan menyatakan cinta kita berdasarkan iman tapi dengan iman itu kita melakukan maksiat.Benar kita tidak pernah berjumpa,berdating seperti remaja lain tapi maksiat bukan itu sahaja.

Ayang yakin dengan kata-kata sayang bahawa tiada hadis yang menyatakan zina hati tapi ayang baru perasan bahwa ayat la taqrabu zina itu menggunakan fail qaraba yakni perbuatan mendekatkan dengan hati.Maknanya,dengan hati pun tidak boleh dekati zina.

Ayang bukanlah membuat fatwa atau apa-apa ajaran tetapi itulah yang ayang percaya.Tindakan kita ini tidak lain tidak bukan,membersihkan najis dengan air kencing sendiri.Najis tidak bersih tetapi bertambah kotor,mengalir dan terus mengalir mengotori semua tempat.

Sayang..Ayang percaya pada jodoh.Jika kita dijodohkan bersama,Insya Allah,kita akan bersama.Tidak perlu bercouple atau berkenalan,jika Allah nak kita bersama,insya Allah kita bersama.

Percayalah,itu hak Allah.Dia boleh buat apa yang dia suka.Dia yang menghidupkan Isa tanpa bapa,menyejukkan api yang membakar nabi Ibrahim,memutuskan air penghalang nabi Musa dan menghidupkan Sam bin Nuh buat nabi Isa.Jika semua perkara ganjil itu Allah yang buat,apatah lagi soal jodoh yang merupakan soal kebiasaan.

Semoga apa yang kita bina selama ini diampuni Allah.

Ukhwah Fillah.

Nisa

Tertitis setitik dua air matanya di atas surat itu tapi cepat-cepat dilapkan supaya tulisan tidak hilang.Sengaja dia tidak mengambil kertas baru dan menulisnya kembali supaya Naim faham isyarat yang cuba diberinya.Hati Nisa tidak mahu tapi disebabkan imannya, agama didahulukan.Kemahuan ditolak ketepi walaupun perit menolaknya.

Surat keramat diletakkan di atas meja Naim,kali ini tiada lagi air laici dan tiada lagi choki-choki,surat semata-mata.Naim membacanya dan dia telah bersedia dengan keadaan ini.Tiada lagi air mata,tiada lagi tangisan tiada lagi kedukaan.Kisah cintanya jelas bukanlah cinta yang menghasilkan CINTA tapi cinta yang berpaksikan maksiat semata-mata.

Tangannya pantas mencari kertas dan pen untuk membalas surat terakhir ini.Tengah dia berfikir ayat-ayat cinta terakhir,hidayah Tuhan sampai.Cahaya yang akan menghilangkan segala titik hitam yang bertapak di permukaan hatinya.Cahaya yang akan membaca cinta ini kepada CINTA.

Dengan penuh yakin,dia mengoyak kertas yang ditulisnya tadi.Dia yakin,jika dia menulis surat balas,syaitan akan mencelah dan mengambil peluang lagi ke atasnya.Biarlah surat ini bergantung sebegini supaya dapat disambung di akhirat nanti.

Sumber: Azzariyat


Baca Seterusnya / Read More

Isnin, 19 April 2010

Teruskan Berdoa...

Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak.

Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya): "Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu..." (Surah al-Ghafir, ayat 60)

Firman Allah (mafhumnya): "Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)


Dalam as-Sunnah, terdapat banyak hadis-hadis fi'li (perbuatan) dan hadis-hadis qauli (percakapan) yang jelas baginda Rasulullah s.a.w., berdoa ke hadrat Allah SWT.

Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT.Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.

Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang. Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah. Doa itu dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika baginda mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya.

Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s., seolah-olah baru dimakbulkan. Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai 'khalilullah' - kekasih Allah - sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.

Apabila kita sering berdoa, jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimakbulkan. Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta. Kadang-kadang doa kita dimakbulkan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak.

Ia adalah suatu ujian kepada kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.



Antara sebab-sebab nyata Allah tidak makbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam ayat 186, Surah al-Baqarah tadi, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah itu, masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan.

Ada hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang doa yang tidak dimakbulkan, antaranya (mafhum): "Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan."

Pada suatu ketika ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, dan berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah, tatkala Nabi s.a.w. melihatnya, lalu baginda bermadah kepada para sahabat, mafhumnya: "Lihat orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya."

Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memakbulkan doanya.

Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya: "Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat)."

Walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memakbulkan doanya.

Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.

Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta.

Amat sedikit yang tidak diberi, itu pun ada kemaslahatannya.

Mengenai soalan saudara, pernahkah doa Rasulullah sendiri ditolak Allah, jawapannya, ya. Memang doa Nabi s.a.w. pernah ditolak. Kadangkala doa baginda pun ditolak.

Ketika Nabi Muhammad s.a.w., pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam.

Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah (mafhumnya): "Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui."

Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka.

Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman.

Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur.

Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): "Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, "Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi. Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan."

Bagaimanapun kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w. dimakbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimakbulkan itu memang ada kemaslahatannya.

Oleh itu berdoalah ke hadrat Allah SWT, kerana ia adalah ibadah. Ibadah dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan.

Jika kita ikhlas beribadah, insya-Allah Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian.

Solat, puasa, zakat, haji, berjihad dan ibadah-ibadah, kita lakukan kerana berhajatkan keredaan Allah atau pahala yang dijanjikan kepada kita pada hari akhirat. Wallahua'lam.

Sumber: Himpunan Tazkirah


Baca Seterusnya / Read More

Khamis, 15 April 2010

Naungan Allah

Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.” Riwayat at-Tirmidzi


Baca Seterusnya / Read More

Rabu, 14 April 2010

Adakah Anda Faham Islam Sebagaimana Abu Jahal Faham Islam?

Pelik bukan, mendengarkan tajuk artikel ini. Benar, Abu Jahal dan Abu Sufyan (ketika masih belum terima Islam) mungkin sekali memahami Islam lebih daripada kita ini yang telah bershahadah dan mengaku diri ini sebagai seorang Muslim.

Pelik bukan, bagaimana dua orang tokoh penentang Islam boleh sahaja memahami Islam ini dalam konteks untuk menerimanya. Sehinggakan mereka menjadi penentang yang amat tegar dan penzalim terhadap ummat Islam yang terawal.

Dengan ini saya bawakan dua buah kisah yang amat menarik, yang mungkin sekali membuktikan betapa mereka ini memahami Islam itu.

Kisah Abu Jahal

Abu Jahal nama sebenarnya adalah Amr Ibn Hisyam. Dia merupakan pemimpin arab jahiliyah yang terkenal. Digelar Abu Jahal kerna kejahilan nya terhadap Islam dan kerana kejahilannya itu dia menentang. Bukan lah maksudnya dia jahil itu dia tidak mengetahui tetapi dia mengetahui dakwah Rasul itu, memahaminya, tetapi menentang dengan cukup tegar sekali.


Dia juga digelar sebagai Abu Hakam; dimana gelaran ini membawa maksud seorang yang memiliki kebijaksanaan (father of wisdom).

Jadi bagaimana kita hendak katakan yang seorang yang digelar sebagai 'father of wisdom' ini tidak memahami dua kalimat arab yang mempunyai makna tiada ilah selain Allah dan Muhammad itu Rasullullah.

Abu Jahal merupakan seorang arab bahkan digelar dengan gelaran Abu Hakam, maknanya dia ini pastinya seorang yang arif dalam hal-hal bahasa sebagaimana seorang hakim memahami bahasa perundangan. Tetapi kenapa tetap juga ditolak Islam itu mentah-mentah bahkan menentang dengan penuh tegar dan dahsyat?

Diceritakan suatu ketika Ar-Rasul berdakwah kepada kaum kerabatnya dengan mengajak kepada tiada ilah selain Allah dan Muhammad itu Rasul Allah, maka berdiri dengan lantangnya Abu Jahal ini dengan berkata,

"Jika itu kau bawakan kepada kami wahai Muhammad, maka kau telah melancarkan perang terhadap seluruh jazirah Arab tidak kira dengan orang arab atau bukan arab!".

Lihat saudaraku, seiman dengan ku, kenapa kah kalimah yang kita lihat sebagai kalimah yang mudah ini boleh menyebabkan orang seperti Abu Jahal itu memerangi Muhammad SAW?

KENAPA KALIMAH YANG SERINGKALI KITA SEBUTKAN DAN LAFAZ SETIAP HARI SEPERTI TIADA APA-APA INI DI FAHAMI OLEH ABU JAHAL SEHINGGA DIA MENENTANG DENGAN PENUH TEGAR?

Maka tidak kah kita terfikir APAKAH MAKSUD SHAHADAH ITU SATU PERSATU? Dari makna kesaksian kepada maksud ilah kepada mengenal siapa itu Allah sehingga kepada mengakui dan mengenal apa itu Rasul dan siapakah Muhammad itu sebagai Rasul, sebagaimana difahami oleh Abu Jahal?

Kisah Abu Sufyan

Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahwa Abu Sufyan bin Harb bercerita kepadanya, bahwa Heraclius (Herclius, Raja Rumawi Timur yang memerintah tahun 610 - 630 M) berkirim surat kepada Abu Sufyan menyuruh ia datang ke Syam bersama kafilah saudagar Quraisy (Quraisy, nama suku bangsawan tinggi di negara Mekkah).

Waktu itu Rasullah saw, sedang dalam perjanjian damai dengan Abu Sufyan dan dengan orang-orang kafir Quraisy (Perjanjian damai, yaitu Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat tahun 6 H). Mereka datang menghadap Heraclius di Ilia (Ilia, yaitu Baitul Maqdis (Jerusaalem)) terus masuk ke dalam majlisnya, dihadapi oleh pembesar-pembesar Rumawi.

Kemudian Heraclius Memanggil orang-orang Quraisy itu beserta Jurubahasanya. Ceritanya barangkali panjang maka saya ringkaskan kepada satu perbualan sahaja.

Heraclius: "Apakah yang diperintahkannya kepada kamu sekalian?"
Abu Sufyan: "Dia (Muhammad) menyuruh kami menyembah Allah semata-mata, dan jangan mempersekutukan-Nya. Tinggalkan apa yang diajarkan nenek moyangmu! Disuruhnya kami menegakkan Shalat, berlaku jujur, sopan (teguh hati) dan mempererat persaudaraan!"

Lihat, Abu Sufyan memahami apa yang dibawa Ar Rasul, yakni shahadah itu. Tetapi kenapa ketika itu dia tidak mahu terima Islam? Apa yang ada sebenarnya dalam kalimat yang kita lihat sebagai mudah itu sehingga Abu Jahal memeranginya dan kaisar romawi begitu ingin tahu terhadapnya?

Apa yang ada pada kalimat itu sehingga kedua tokoh arab itu memahaminya dan menolaknya sedangkan ada yang menerimanya dengan hati terbuka seperti Abu Bakar As Siddiq dan ada yang menerimanya setelah memahaminya walaupun sebelumnya berniat membunuh Ar Rasul seperti Umar Ibn Khattab?

Kalimah shahadah itu merupakan perjanjian yang teguh antara seorang insan dengan penciptanya tanpa perantaraan manusia. Tanpa paderi yang menjadi perantara. Hubungan terus antara manusia dengan Allah. Dimana kita menerima Allah itu sebagai ilah dan Muhammad itu sebagai Rasul Nya?

Apakah ilah itu sehingga kita sebutkan ilah itu sebagai Tuhan? Ilah itu adalah: "Yang diharapkan, Yang ditakuti, Yang diikuti, Yang dicintai" dimana sifat itu difahami dengan sebetulnya.

Di mana kita letakkan syahadah kita?

gambar hiasan

Masalahnya kini kita telah mencipta banyak ilah lain selain Allah secara kita tidak sedar. Saya sebagai remaja ingin memberi contoh, kita punya kekasih hati (orang sarawak panggil gerek) dan kita harapkan dia, kita sayangkan dia sepenuh hati, kita ikut kehendaknya, kita takut kalau dia merajuk atau sedih dan kita cintai dia sepenuh hati kita. Bukankah itu kita telah menciptakan ilah yang lain?!!

Benar, kita senang katakan yang kita mencintai Allah lebih dari segalanya, lebih dari kekasih kita itu. Tetapi adakah iman itu hanya dibuktikan dengan kata-kata kosong sedangkan perlakuan kita tidak menunjukkan dan membuktikan apa yang kita ucapkan bahkan berlawanan dengan apa yang kita katakan cinta kita sepenuhnya kepada Allah???

Dimana sebenarnya kita letakkan Allah itu sebagai ilah dan lebih lagi dimana kita letakkan pengertian kita bershahadah??? Bahkan dalam konteks remaja yang berkasihan dengan lawan sejenisnya itu melakukan maksiat kepada Allah dalam dia berkata dia mencintai Allah lebih dari segalanya. Itu sesuatu yang sangat keji dan menyedihkan.

Mungkin dalam konteks sebagai dewasa, sebagai pekerja, pembaca mungkin boleh berfikir sendiri betapa kita telah mencipta sembahan dan ilah selain Allah. Dimanakah nilai kita ini sebagai seorang yang bershahadah? Adakah kita bershahadah dengan bermain-main? Ataupun kita anggap shahadah itu sebagai kata-kata kosong yang tidak ada harga dan isinya??

Lihat saudara ku, betapa sehingga Abu Jahal itu menentang Islam kerana dia tahu bilamana dia menerima Allah itu sebagai satu-satunya ilah dia perlu dan wajib menolak ilah lain yang telah dia ciptakan seperti kekuasan, kekayaan dan darjat. Bilamana dia memahami maksud ilah itu, dia menentang Islam bahkan melancarkan perang terhadap Islam.

Sesungguhnya Abu Jahal ini benar-benar memahami shahadah itu dan memahami maksud ilah yang sebenar. Adakah kita faham Islam itu sebagaimana Abu Jahal memahaminya, atau lebih teruk lagi??

Fikirkanlah..:

"dan diantara manusia ada yang menyembah selain Allah sebagai tandingan yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman amat besar cintanya kepada Allah." 2:165



www.iluvislam.com
oleh: tajulrijalannuar
editor: deynarashid


Baca Seterusnya / Read More

Ahad, 4 April 2010

Ketawa


"Jika kita banyak ketawa di dunia..nescaya kita akan lebih banyak menangis di akhirat kelak. Tetapi jika kita banyak menangis di dunia..menangis kerana TAKUTKAN ALLAH..menangis kerana MENGENANG SEDIKITNYA AMALAN..menangis kerana MENGENANG BANYAKNYA DOSA..BANYAKNYA MENGANIAYA ORANG LAIN..menangis kerana rasa KERDILNYA DIRI DI HADAPAN ALLAH..HINANYA DIRI BERBANDING orang LAIN..insyaALLAH kita akan banyak tertawa di akhirat dengan nikmat ALLAH SWT. Tidak akan dihinggapi api neraka, mata2 orang yang menangis kerana ALLAH SWT.


Apakah kita sudah bersedia untuk mengadap Khaliq kita, ALLAH Yang Maha Agung? Sedang maut datang tidak kira masa..tidak kira tempat.Ingin saya berkongsi dengan sidang muslimah yang dihormati sekalian, berkenaan petikan kisah Tangisan Jibril dan RasuLULLAH SAW, dari buku berjudul HIDUP SESUDAH MATI, karangan BEY ARIFIN, terbitan PUSTAKA NASIONAL..hayatilah..

DIRIWAYATKAN dari Umar Ibnul-Khattab lah.a.:
Telah datang Jibril kepada Nabi Muhammad bukan di waktu yang biasanya ia datang, Rasulullah lalu berdiri mendapatkannya dan berkata:

"Hai Jibril, Kenapa saya melihat engkau berubah warnamu?" Menjawablah Jibril: "saya diperintahkan ALLAH datang menerangkan semburan api neraka."

Berkata Rasulullah "Terangkan kepadaku keadaan NERAKA dan hal ihwal JAHANNAM." Berkata Jibril" Sesungguhnya ALLAH memerintahkan agar jahannam dinyalakan apinya seribu tahun lamanya, sehingga kerana semakin panasnya maka berubahlah warna apinya menjadi putih. Lalu diperintahkan menyalakannya seribu tahun lalu, sehingga warna apinya berubah menjadi hitam, hitam yang gelap, sehingga tak bersinar lagi gejolakannya dan tak padam2 bakarannya. Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, kalau dibukakan Jahannam itu sebesar lubang jarum, maka akan TERBAKARLAH BUMI DAN SEGALA ISINYA kerana panasnya. Dan demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, sekiranya salah seorang dari penghuni Neraka itu didatangkan ALLAH ke bumi ini, akan MATILAH SELURUH MANUSIA yang mendiami bumi ini dari KEJELEKAN MUKANYA DAN KEBUSUKAN BAUNYA. Demi Tuhan yang telah mengutusmu dengan kebenaran, sekiranya satu lingkaran (ring) dari rantai Neraka diletakkan di atas sebuah gunung di dunia ini, akan TEMBUSLAH GUNUNG itu sampai ke dasar bumi yang paling bawah."

Maka berkata Rasulullah SAW "Untunglah ya Jibril, jantungku tidak sampai pecah sehingga saya mati mendengarkan keteranganmu ini."

Rasulullah melihat JIBRIL MENANGIS, RASULULLAH TURUT MENANGIS dan berkata "Kenapa engkau sampai menangis pula ya Jibril sedang kedudukanmu begitu rupa di sisi ALLAH?" Berkata Jibril "Kenapa saya tidak menangis, kerana siapa tahu keadaanku dalam ilmu ALLAH tidak seperti yang saya ketahuii, dan saya tidak tahu apakah saya tidak akan mengalami cubaan sebagai yang telah dialami oleh IBLIS, sedang iblis itu termasuk golongan Malaikat (tetapi menyeleweng), dan saya tidak tahu apakah saya akan mengalami akan apa yang dialami oleh malaikat Harut dan Marut."

Maka menangislah Jibril dan menangis pula Rasulullah. Lama keduanya menangis, lalu datanglah seruan dari langit yang berbunyi "Hai Jibril, hai Muhammad, sesungguhnya ALLAH AZZA WA JALLA telah menjamin engkau berdua tidak akan sampai durhaka."

Lalu Jibril naik ke langit, dan Rasulullah meneruskan perjalanan beliau;sehingga bertemu dengan sekelompok orang-orang Ansar sedang bermain dan ketawa-ketawa. Lalu berkata Rasulullah kepada mereka:

"Apakah kamu ketawa-ketawa, sedang di belakangmu Neraka JAHANNAM, sekiranya kamu tahulah akan apa yang saya ketahui, sungguh kamu akan ketawa sedikit dan akan menangis banyak, kamu tak akan makan dan tak akan minum, malah akan menuju ke tempat-tempat tinggi untuk bermohon dan minta perlindungan ALLAH."

Diriwayatkan oleh Ahmad dari Anas bin Malik: Rasulullah menanya Jibril "Kenapa saya tidak pernah melihat Mikail ketawa? Jawab Jibril " Tidak pernah Mikail ketawa SEJAK DICIPTAKAN ALLAH NERAKA."

Diterangkan pula bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri pun tak pernah ketawa sejak mengetahui keadaan Neraka. Beliau hanya pandai tersenyum sejak waktu itu. Hanya kita manusialah yang bodoh-bodoh, sehingga terlalu banyak ketawa terbahak-bahak, sekalipun sudah diterangkan demikian hebatnya Neraka itu. Ketawa terbahak-bahak menunjukkan kebodohan.
(petikan daripada 'Hidup Sesudah Mati' - Bey Arifin)

Dunia ini merupakan penjara bagi orang Mukmin, dan syurga bagi orang musyrik.

Semoga menjadi pedoman itu diamalkan dan disampaikan.



Ya ALLAH, Ya Khaliq, jauhilah kami dari godaan syaitan, dari fitnah Dajjal, dari fitnah dunia, dari amalan yang tidak diterima, dari azab kubur, dari api neraka.Allah SWT sebaik-baik tempat berlindung.


Baca Seterusnya / Read More

Khamis, 1 April 2010

SEjaRah APril FOOL....................................

APRIL FOOL, BUAT RENUNGAN & PEDOMAN KITA SEMUA !!!


Assalamualaikumwbh. Ikutilah cerita sedih di sebalik April Fool's Day sebagai renungan bersama. Setiap kali menjelang 1 April, sesetengah orang kita begitu taksub dengan budaya 'pandang ke barat'.

Berbalik kepada perayaan April Fool's Day ini, adalah ia mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera Kristian.

Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol (Moors) terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan orang-orang Islam dr Sepanyol.



Penduduk-penduduk muslim ini, diberitahu bahawa mereka boleh berlayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang-barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh dipelabuhan. Orang-orang Muslim yang risau sekiranya tawaran tersebut merupakan suatu penipuan, telah pergi keperlabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan.

Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak. Keesokan harinya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah disiapkan menuju ke perlabuhan.

Pada masa inilah pihak Kristian mengambil kesempatan untuk menggeledah dan kemudian membakar rumah penduduk-penduduk Islam ini.

Mereka juga tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya dibakar. Pihak Kristian kemudiannya menyerang kaum muslim dan membunuh kesemuanya, lelaki, perempuan, serta anak-anak kecil. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian.

Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia.

Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini turut meraikan April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara seIslam mereka sendiri.

Semoga Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita.


Petikan drpd Risalah Fikrah
Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu .....rawahuttirmizi Illal Liqaq


Baca Seterusnya / Read More

Jundullah