Rabu, 23 September 2009

Hari Raya datang lagi...

Hari raya datang lagi. Seluruh umat Islam menyambutnya dengan penuh kesyukuran tanda kita berjaya melepasi ujian sepanjang bulan Ramadhan. Dalam bulan tersebut, kita telah berpuasa selama sebulan dan sudah tentulah kedatangan hari raya ini mempunyai makna yang tersendiri kepada setiap Muslimin dan Muslimat. Menyebut Aidilfitri bermakna kita kembali kepada fitrah diri kita sendiri. Fitrah yang mengaku pada peringkat kejadian yang sempurna dan hebat ingin meletakkan keagungan dan keredhaan Allah sebagai mercu tanda kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan kita berpuasa dalam erti kata sebenarnya kita telah pun memerdekakan diri kita daripada nafsu serakah sama ada dalam bentuk lahiriah dan batinnya.


ADAB-ADAB MENYAMBUT AIDILFITRI

Aidilfitri merupakan satu perayaan yang syariat Islam anjurkan bagi meraikan kejayaan umat Islam menyempurnakan ibadah puasa Ramadhan. Tidak kira bangsa, warna kulit, dan tempat, ketibaan 1 Syawal amat dinantikan oleh setiap individu muslim, masing-masing ingin bergembira meraikan Aidilfitri seperti mana yang telah dieprintahkan oleh Allah SWT dan Rasul Nya. Syariat Islam menganjurkan sambutan meraikan Aidilfitri diadakan dalam suasana yang penuh adab dan sopan dengan tidak menyimpang dari kesucian ajaran Islam. Jika ibadah puasa mesti mengikut syariat, sudah tentu ibadah dalam smabutan Aidilfitri juga ada peraturan dan adabnya. Kita perlu meletakkan diri kita di kalangan individu-individu yang sentiasa memakmurkan syiar-syiar Islam dengan membesarkan Allah SWT sehingga melayakkan kita mendapat darjah ketaqwaan dan kasih sayang daripadaNya. Allah SWT menjelaskan : "Barangsiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu (membesarkan syiar Allah) lahir dari hati yang bertaqwa". (Surah Al-Haj: Ayat 32)

Program sambutan Aidilfitri yang dianjurkan Islam tidak mengenepikan adat budaya setempat yang dimiliki sesuatu bangsa, bahkan kepelbagaian budaya itu menambah keceriaan sambutan. Perkara asas yang perlu diutamakan dalam sambutan ialah menjaga dan menjunjung adab dan akhlak Islam, walaupun dalam masyarakat yang pelbagai. Namun ketika seronok merayakan sambutan Aidilfitri, ingatlah pesanan Nabi Muhammad SAW: " Sesungguhnya iblis laknatullah akan memekik pada setiap hari raya. Maka berhimpunlah semua ahli keluarganya dengan mengelilinginya. Mereka bertanya: "Wahai tuan kami, apakah yang menyebabkan kemarahanmu ini?" Jawab iblis: "Sesungguhnya Allah SWT benar-benar telah mengampunkan umat Muhammada pada hari ini. Maka kamu mesti menyibukkan mereka dengan segala macam kelazatan dan kesenangan nafsu". (Riwayat Bukhari)

Sambutan perayaan Aidilfitri harus diuar-uarkan delam bentuk tingkah laku keagamaan yang menekankan persoalan adab dan akhlak yang murni. Adab-adab Islam perlu dipertahankan dalam suasana kemeriahan Aidilfitri bagi mempertahan kesucian 'fitrah' yang telah dibina dan dibajai pada bulan Ramadhan. Tidaklah nanti sambutan Aidilfitri menjadi acara sambutan tahunan yang mengutamakan keseronokan hiburan dan pesta makan minum semata-mata.

(Dipetik dan diolah dari Mingguan Wanita Edisi Khas Aildilfitri 2005)


Baca Seterusnya / Read More

Jundullah